kekejaman Insan Yang Berdosa

mendengar berita mengenai seorang bayi yang dibuang dan dibakar dua hari lepas membuat semua hati yang masih lagi dapat meresapi fitrah diri yang sentiasa cintakan kedamaian dan kasih sayang berasa sedih geram diatas kejadian itu. kita tertanya2, dimanakah hati nurani seorang ibu ketika dia melakukanang perbuatan yang amat terkutuk itu? seorang bayi yang tidak berdosa dan baru ingin mencuba untuk menghirup udara dunia ini diperlakukan sedemikian rupa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Apabila dunia hiburan kita terbabas



Dalam sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. datang ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa Peperangan Badar sehingga salah seorang daripada mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok.” Baginda bersabda: Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu.
Dalam hadis tersebut baginda tidak melarang hiburan pada hari keramaian seperti perkahwinan. Cuma baginda melarang ungkapan atau lirik yang salah. Hanya yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari ialah Allah. Maka baginda membetulkannya.
Baginda bertindak bagaikan lembaga penapisan dan penilaian seni atau hiburan agar tidak menyanggahi batasan agama yang murni ini.
Islam tidak jumud sehingga menjadikan hidup ini kaku dan tidak ada langsung rempah-ratus kehidupan yang diselang-seli oleh hiburan dan keseronokan dengan kadar yang tidak melampaui batas sehingga boleh menghilangkan matlamat hidup yang sebenar.
Dalam riwayat al-Bukhari juga daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan. Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda: Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.
Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian seperti hadis al-Bukhari sebelum ini.
*Masjid
Bahkan baginda mengizinkan pertunjukan yang menghiburkan di masjid sekalipun. Ini seperti hadis al-Bukhari. Kata Aisyah r.a: “Suatu hari Rasulullah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang-orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selendangnya agar aku dapat melihat kepada permainan mereka. Kemudian baginda bangun keranaku sehingga aku beredar (bosan). Kamu andaikan kadar seorang anak gadis yang muda yang berminat dengan hiburan.”
Hadis-hadis ini menunjukkan keizinan Islam untuk penganutnya menikmati hiburan dengan batasan yang ditetapkan. Ini kerana hidup yang diciptakan Allah akan menempuh berbagai-bagai situasi dan keadaan. Kadangkala ia memerlukan kerehatan dengan hiburan yang berprinsip bagi membantu melegakan ketegangan urusan hidup. Juga hiburan membantu memeriahkan acara yang patut dihidupkan suasana kegembiraan seperti perkahwinan atau Hari Raya.
Di samping itu, ada pula insan lain yang tidak memerlukan itu semua. Maka hiburan bukan suatu kemestian tetapi suatu keizinan dan peluang untuk insan. Atau paling tinggi suatu galakan Nabi untuk suasana tertentu. Justeru, hiburan bukan fokus utama dalam masyarakat Islam. Ini kerana, hiburan jika berlebih-lebihan maka ia akan mengganggu tumpuan hidup umat yang agung iaitu menjadi khalifah dengan membina tamadun yang bertunjangkan akidah dan pengabdian diri kepada Allah dan membawa rahmat untuk manusia sejagat.
Keizinan Nabi untuk para sahabat menikmati hiburan dengan kadar yang munasabah tidak pernah mengganggu mereka membawa misi agung yang disebut oleh Rib’i bin Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Malangnya, apa yang kelihatan dalam masyarakat Muslim kita, hiburan yang merupakan keizinan untuk meredakan ketegangan urusan hidup atau sebagai peluang menikmati keseronokan telah dijadikan fokus utama dalam kehidupan. Media seakan mengajak generasi kita menumpukan sepenuhnya kemampuan diri untuk berlumba-lumba di bidang hiburan. Sehingga jika dilihat kepada media elektronik dan cetak, seakan tidak ada agenda lain yang lebih utama dalam kehidupan generasi baru dari berhibur dan berseronok sepanjang masa.
Hiburan yang diizinkan dengan kadar yang munasabah telah menjadi candu dan barah yang membunuh tumpuan remaja dan para pemuda untuk membina tamadun secara bermaruah dan merdeka.
Lebih buruk lagi, kebanyakan hiburan yang disebarkan itu bukan sahaja tidak mempunyai nilai kesopanan dan tamadun, bahkan sebahagian adalah lambang keruntuhan akhlak dan ketidakmerdekaan jiwa. Sebahagian yang melibatkan diri dalam dunia hiburan itu; kisah, pakaian, bahasa dan gaya mereka bukan sahaja tidak memperlihatkan kematangan dan tamadun, bahkan menonjolkan ciri-ciri kebodohan diri. Lihat sahaja sesetengah adegan lawak jenaka zaman kita atau aksi sesetengah artis.
Di samping itu, acuan atau reka bentuk hiburan itu sendiri gagal menunjukkan jati diri umat yang mempunyai tamadun dan budaya yang tersendiri. Lihat sahaja nama-nama program realiti hiburan yang ditampilkan, kebanyakannya melambangkan jiwa yang tidak merdeka yang menceduk dari reka bentuk sehingga ke nama program pun tidak mampu diubah.
Para penggiat hiburan, ramai yang menjadikan Barat kayu ukur dalam kegiatan mereka. Maka sehingga ada yang merasai gelagat buruk artis Barat sama ada Paris Hilton atau Britney Spears atau seumpama mereka mempunyai nilai seni yang tersendiri.
Mereka lupa bahawa Barat sedang mengalami keruntuhan moral yang parah disebabkan para artisnya. Nilai-nilai buruk dan hodoh telah bertukar menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan mereka sehingga merosakkan ikatan keluarga, budaya asal mereka bahkan agama mereka sendiri. Para artis mereka adalah lambang dan penyumbang kepada keruntuhan tersebut.
Namun Barat masih mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya mereka telah berjaya membina tamadun kebendaan yang hebat yang menjadikan mereka dipandang megah oleh dunia. Maka kecuaian muda- mudi mereka masih dapat ditampung dengan tamadun kebendaan yang telah mereka bina. Untuk mereka melangsungkan apa yang sudah mantap tidaklah begitu sukar.
Juga, aktiviti hiburan mereka telah membawa pulangan ekonomi yang tinggi. Ini kerana, dunia lain memandang tinggi jenama mereka dan sanggup membayar harga untuk menikmati hiburan mereka. Adapun kita, belum berjaya membina tamadun kebendaan, mahupun budaya seperti mereka. Lebih malang lagi, kegiatan seni kita lebih banyak membazirkan wang bangsa sendiri dan gagal menghasilkan pulangan ekonomi untuk negara.
Dalam keadaan kita yang dilanda berbagai-bagai masalah yang gagal diselesaikan dengan kadar yang selesa; dadah, kerosakan akhlak, gejala jenayah remaja, malas, sikap tidak bertamadun anak bangsa; adakah patut kita fokuskan tenaga dan kemampuan remaja kita ke arah hiburan ‘tidak berhenti-henti’ atau ‘hiburan tanpa sempadan’? Program realiti hiburan ada yang telah memerangkap cita-cita hidup anak muda sehingga gagal memikirkan kemampuan diri selain dari menjadi ‘artis segera’.
Namun perkara yang paling realiti bagi setiap program realiti hiburan itu adalah penajanya mengaut untung gila-gila sementara kerugian langsung atau tidak langsung ditanggung oleh ‘anak dan bapa’ orang kita.
Sekali lagi, saya bukan antiartis, hiburan dan seni. Anda boleh baca temu bual dengan saya oleh majalah Pentas terbitan Istana Budaya. Namun saya sedang membicarakan soal untung rugi jangka masa panjang terhadap umat jika terus dibiarkan generasi kita tenggelam dalam arus hiburan tidak berdisiplin yang sedang pesat sekarang.
Saya tidak antiartis secara melulu. Bahkan saya tahu ada artis-artis yang ternama juga membaca artikel saya. Setiap orang ada sumbangannya. Namun saya mengharapkan agar kegiatan seni tidak melanggari disiplin agama dan memusnah masa depan bangsa. Hiburan kita seakan hilang arah. Dalam banyak hal, kelihatan tidak banyak memberi sumbangan kepada pembangunan peradaban dan ketamadunan umat.
Islam bukan jumud yang menuntut agar filem atau artis yang berdisiplin mesti mempamer ‘lebai’ atau kopiah di atas kepala atau dibacakan nas-nas agama. Yang penting ialah disiplin dalam penampilan dan kandungan. Sekadar bersongkok atau berkopiah belum tentu isi seninya tidak melanggar batasan Islam.
Dalam industri perfileman, saya rasa kita boleh puji Iran. Walaupun saya dalam banyak perkara pokok dan cabang amat berbeza dengan mazhab utama negara tersebut. Namun saya akur industri filem di Iran telah berjaya – pada suatu tahap – menghasilkan filem-filem yang mempunyai disiplin yang tinggi dan kualiti yang baik. Bahkan banyak juga filem mereka yang memenangi berbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Tanpa perlu mempamerkan watak yang menyanggahi agama atau menceduk aksi dan watak Barat, filem ‘Kasut’ dari Iran berjaya memenangi anugerahnya.
Pihak yang diberikan bajet besar untuk kemajuan Islam pula hendak merancang agar media benar-benar dimanfaatkan untuk pembangunan umat. Media adalah kuasa ajaib di zaman ini. Janganlah program kita hanya stereotaip yang tidak boleh dipasarkan untuk generasi baru.
Kepentingan menguasai media atau memanfaatkannya lebih utama dari memikirkan bagaimana mengelakkan Mufti Perlis daripada muncul dalam Forum Perdana. Sehingga hari ini para penggiat seni tidak mempunyai penasihat seni dari sudut agama yang praktikal dan produktif.
Anugerah-anugerah prestij agama yang sudah bersifat ‘muzium’ itu patutlah digantikan dengan anugerah-anugerah lain yang lebih utama untuk difokuskan. Anugerah filem yang berkualiti dan tidak menyanggahi syariah umpamanya mungkin boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan seni yang lebih berdisiplin.(www.drmaza.com)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Bahaya Ajaran sesat

15 Ogos 2007
Ustaz Dr. Abdullah Yasin

عَنْ أبِىْ هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مِنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ ٰلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا ، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ أَثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ ٰلِكَ مِنْ أَثَامِهِمْ شَيْئًا
(رواه مسلم)
Terjemahan:
Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa sesungguhnya Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:
“Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk (hidayah), maka baginya ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun, dan barangsiapa yang mengajak kepada dhalalah (kesesatan), maka (dibebankan) ke atasnya dosa sama seperti dosa orang yang megikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun”.
[Hadis Sahih Riwayat Muslim]
Mukaddimah:
Adalah sudah menjadi ketetapan agama Islam bahwa setiap satu amalan baik yang dilakukan oleh seseorang akan diberi balasan oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat ganda, sejak dari 10 ganda, 700 ganda, hingga tidak ada batasannya (bighairi hisab). Sedangkan jika ia melakukan satu amal jahat, maka Allah tidak akan membebankan ke atasnya kecuali hanya satu dosa. Ini diantara bukti betapa sifat pengasih dan penyayang yang dimiliki oleh Allah Subhana Wa Taala.
Dan ganjaran amal baik akan menjadi berlipat ganda lagi untuk seseorang yang gemar menyebarkan hidayah atau kebenaran Dia bukan sahaja akan mendapat ganjaran daripada hidayah dan pengajaran yang disampaikannya tetapi juga akan mendapat ganjaran orang-orang yang mengikuti ajarannya tanpa dikurangi sedikitpun. Demikian pula sebaliknya terhadap kejahatan atau kesesatan yang disebarkannya. Dia bukan hanya akan ditimpakan dosa karena menyebarkan kesesatan tetapi juga mesti memikul dosa yang sama dengan dosa orang yang mengikuti ajarannya.
Kesan-kesan Amalan:
Allah SWT bukan hanya menulis ganjaran amalan seseorang tetapi juga akan menulis kesan-kesan amalan, samada yang baik ataupun yang jahat. Ini sebagaimana firman Allah:
Artinya: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan kesan-kesan yang mereka tinggalkan.
(Yasin :12)
Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan kepada kita bahwa selain amalan kita akan ditulis, juga kesan-kesan amalan kita. Ada dua makna kesan-kesan amalan di sini, iaitu:
  1. Kesan-kesan telapak kaki ketika pergi ke tempat yang baik
  2. Kesan-kesan amalan ketika kita masih hidup yang akan kita terima walaupun setelah kita wafat.
Hidayah Dan Dhalalah:
Hidayah lawannya Dhalalah. Hidayah maknanya Petunjuk dan Dhalalah pula maknanya Kesesatan. Hidayah datangnya daripada Allah sedangkan dhalalah datangnya daripada syaitan. Hidayah membawa manusia ke syurga, sedangkan dhalalah pula membawa manusia ke neraka.
Sebaik-baik kalam (ucapan) adalah Kalam Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik Hidayah adalah hidayah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh sebab itu baginda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) pernah bersabda:
“Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya, maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya iaitu: Kitabullah dan Sunnahku”.
[HR Imam Ahmad dan Ibnu Majah]
Ilmu, Amal, Dakwah:
Amal dan dakwah tidak sempurna tanpa ilmu. Amal dalam kejahilan hanya akan menambah dosa, bukan menambah pahala. Demikian juga dengan dakwah. Dakwah tanpa ilmu hanya akan menambah dosa. Apalagi jika bahan yang disampaikan hanya rekaan nafsu belaka tanpa merujuk kepada Kalam Allah dan Kalam Rasul. Itulah sebabnya di antara tugas Rasul (sallallahu alaihi wasalam) adalah “Daa’iyan Ilal Laahi Biiznih”: menyeru kepada agama Allah dengan izinNya (Al-Ahzab :46). Mengapa ada tambahan: “Biiznih”? Karena segala bahan penyampaian dakwah mestilah dengan seizin Allah dan tidak boleh sesuka hati pendakwah.
Oleh itu, seyogianyalah kita semua dan para pendakwah khususnya selalu berwaspada dan berhati-hati dengan ilmu yang disebarkan. Jangan sampai terjadi, pahala yang diharapkan tetapi akhirnya dosa yang kita mesti tanggung.
Menanggung Dosa Orang Lain:
Allah berfirman: “dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Al-An’aam :164). Maksudnya: Masing-masing memikul dosanya sendiri-sendiri.
Ayat di atas memang benar. Tetapi kaedah ini akan menjadi berbeda jika melibatkan penyebaran atau anjuran, Lebih-lebih lagi jika yang menyebarkan suatu kebatilan mengetahui tentang kebatilan ajaran yang disebarkannya.
Oleh itu, jauhilah segala larangan Allah dan RasulNya. Jika seseorang mencipta perkara baru dalam agama (bid’ah) yang samasekali tidak ada sumbernya dari Al-Quran dan Sunnah Nabi (sallallahu alaihi wasalam) ataupun sebagai orang pertama yang melakukan sesuatu maksiat. Lalu amalan bid’ah dan maksiat yang dipeloporinya itu diikuti oleh orang lain, maka ia terpaksa memikul dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya.
Sebagai contoh, umpamanya: Homosex (liwath) yang dipelopori oleh umat Nabi Luth. Tidak ada umat sebelumnya yang pernah melakukan perbuatan terkutuk itu. Ini sebagaimana firman Allah:
Ingatlah ketika Luth berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu melakukan perbuatan keji itu yang belum pernah dilakukan oleh seorangpun (di dunia) sebelum kamu?
(Al-A’raaf :80)
Imam Al-Maraghy dalam tafsirnya (VII=IX/204) berkata:
“Umat Nabi Luth telah mempelopori perbuatan terkutuk itu, mereka menjadi ikutan dan teladan bagi umat sesudahnya, oleh itu mereka bukan saja menanggung dosa yang mereka lakukan tetapi juga dosa orang-orang yang mengikuti mereka hingga ke Hari Kiamat”.
Minta Maaf Secara Terbuka:
Jika seseorang telah terlanjur menyebarkan ajaran yang sesat, samada ajaraannya mengandungi unsur-unsur syirik atau pun unsur-unsur bid’ah, maka ia belum dianggap cukup sekedar memohon ampunan kepada Allah tetapi ia mestilah membuat pengisytiharan atau penjelasan terbuka dan menarik balik ajaran yang disebarkannya itu supaya pengikutnya sedar dan berhenti daripada meneruskannya.
Allah SWT berfirman: “…mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati, kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu Aku menerima taubatnya”. (Al-Baqarah :159-160)
Hadiah Pahala Kepada Rasulullah?:
Kalu kita betul-betul memahami kaedah di atas, mungkin kita boleh akur dengan pandangan Imam Ibnu Al-Qayyim:
“Sebagian Ahli Fiqh akhir zaman (Fuqahaa Mutaakhkhirin) menyukai perbuatan tersebut (menghadiahkan pahala amalankepada Rasulullah sallallahu alaihi wasalam) dan sebagian yang lain pula tidak menyukainya, malahan menghukumkannya bid’ah karena perbuatan itu tidak pernah dilakukan oleh para sahabat. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: (Lihat Hadis Bab di atas). Hidayah dan ilmu yang kita miliki semuanya berasal dari Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam), oleh itu baginda pasti akan mendapat pahala seperti pahala pengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun, samada mereka hadiahkan ataupun tidak dihadiahkan”. (Lihat Fqhus Sunnah: I/570)
Kesimpulan:
  1. Berhati-hatilah kalau ingin menyebarkan ajaran agama. Pastikan setiap akidah atau amalan ada sumbernya yang sah daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi (sallallahu alaihi wasalam).
  1. Sungguh beruntung orang yang menyebarkan kebenaran dan sungguh rugi orang yang menyebarkan ajaran sesat.
  1. Untuk memastikan sesuatu kebenaran, kita mestilah selalu merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah (sallallahu alaihi wasalam) serta pandangan serta amalan Salafus Saleh.
  1. Golongan yang menjauhkan diri dari panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi (sallallahu alaihi wasalam) sangat mudah terjebak dalam ajaran sesat

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

SEKADAR MENGINGATi PADA YG MASIH LUPA..

Dosa itu datang tanpa disedari

menerpa,menyelak, membuang yg biasa

rasa seronok menyelimuti diri

lupa dunia lupa semua

dada mengembang bahu membidang

jalan menegak wajah mendongak

sombong...angkuh...memakai sifat yang Esa



bukan mengukur pada diri yg kerdil

tidak juga faham badan yang ditakdir

tiada kuasa juga tiada daya

punah dan binasa baru terasa

untuk apa?

sudah terlambat

jika dunia diputar semula

dosa itu juga yg kau lumuri

perangai manusia adat terbiasa



bukankah kini Islam kembali asing...

tidak sama tidak juga serupa

begitu anggun dan indah peribahasa

di tengah tamaddun yg kembali ke asal lama

terindah wajah cerah dek wudu' menghias rupa

siapa?

Mana?

Masihkah ada????

Dosa itu datang tanpa disedari

menerpa,menyelak, membuang yg biasa

rasa seronok menyelimuti diri

lupa dunia lupa semua

dada mengembang bahu membidang

jalan menegak wajah mendongak

sombong...angkuh...memakai sifat yang Esa



bukan mengukur pada diri yg kerdil

tidak juga faham badan yang ditakdir

tiada kuasa juga tiada daya

punah dan binasa baru terasa

untuk apa?

sudah terlambat

jika dunia diputar semula

dosa itu juga yg kau lumuri

perangai manusia adat terbiasa



bukankah kini Islam kembali asing...

tidak sama tidak juga serupa

begitu anggun dan indah peribahasa

di tengah tamaddun yg kembali ke asal lama

terindah wajah cerah dek wudu' menghias rupa

siapa?

Mana?

Masihkah ada????

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS